Isnin, 19 November 2012


Salam sejahtera.

Blog ini dibangunkan adalah bertujuan untuk memenuhi kehendak tugasan saya iaitu subjek TEKNOLOGI MAKLUMAT SEKOLAH RENDAH (KRT3013) yang memerlukan kami membangunkan blog untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah berdasarkan sukatan mata pelajaran dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Selain daripada memenuhi kehendak tugasan ini, melalui blog ini juga saya dapat kongsikan dengan rakan-rakan pendidik bahan pengajaran dan pembelajaran yang saya adaptasikan daripada gabungan modul pengajaran Matematik KSSR tahun 1 dengan elemen-elemen TMK sejajar dengan perubahan zaman. Pada era pemodenan ini, wajarlah bagi kita mengaplikasikan peralatan ICT demi untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pengajaran kita. Pembelajaran secara maya pada masa sekarang adalah hasil daripada evolusi pendidikan yang berlaku di seluruh dunia yang memberi penekanan kepada pembelajaran secara individu. Pembelajaran pada masa sekarang adalah lebih kepada konsep inkuiri penemuan yang memberi kesan yang lebih positif kepada murid-murid. Isi kandungan pengajaran dan pembelajaran blog saya ini adalah seperti dibawah:

Bidang
:
Nombor dan Operasi
Tajuk
:
Wang hingga RM10
Standard Kandungan
:
4.1 Murid dibimbing untuk mengenal pasti ringgit dan sen.
Standard Pembelajaran
:
Murid berupaya untuk mengenal pasti mata wang Malaysia dalam bentuk syiling dan wang kertas
Masa
:
60 minit (2 waktu)

Sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan blog ini hendaklah dilaksanakan di makmal komputer sekolah secara individu atau berpasangan. Rakan-rakan guru boleh menggunakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang telah saya sediakan sebagai panduan penggunaan blog ini. Kelebihan menggunakan blog ini ialah kefahaman murid-murid dapat dinilai dengan cepat menggunakan lembaran kerja yang disediakan. Lembaran kerja ini dilaksanakan secara online dan disemak secara online. Jadi, rakan-rakan yang menggunakan blog ini tidak perlu meminta murid membuat latihan dalam buku latihan. Ini dapat meringankan beban rakan-rakan guru untuk menyemak latihan murid. Inilah tujuan TMK diaplikasikan iaitu untuk meringankan dan memudahkan kerja. Sekiranya rakan-rakan guru ingin membuat PBS, rakan-rakan boleh mencetak contoh instrumen yang telah saya buat. Sebarang komen amatlah dialu-alukan untuk menambahbaik lagi kelemahan yang ada supaya blog ini dapat dimurnikan lagi. Sekian, terima kasih.